Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan jalan raya
di Kilometer 2.4, Jalan Tun Mustapha, Labuan, semalam. Herman (kiri) dan Mohd Hafeez maut di tempat kejadian.
Labuan: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Labuan dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbunuh apabila
kenderaan mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan
Tun Mustapha, berhampiran Pasar Peladang di sini, kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.25 malam itu, Penolong Penguasa SPRM, Herman Ahad, 33, dan Penolong Penguasa SPRM, Mohd Hafeez Bauzi, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.
Khairul Muhaimin Khairul Amin, 2, dari Kampung Lajau di sini, pula yang parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Nukleus Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata kereta Toyota GT dipandu Herman yang dalam perjalanan ke pusat bandar merempuh PERODUA Kancil dinaiki kanak-kanak itu bersama ibu saudaranya, Nuratiqah Tamin, 20 dan Norsalbindra Salleh, 22.
Wanita itu dan Norsalbindra yang juga tunangnya, hanya cedera ringan.
Terbabas rempuh pokok
Siasatan awal mendapati Toyota GT merempuh PERODUA Kancil yang berada di lorong kanan sebelum kedua-dua kereta berkenaan terbabas.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang lampu dan merempuh pokok sebelum terbalik,” katanya.
Mayat kedua-dua pegawai SPRM itu dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Mohd Hafeez diterbangkan ke ibu negara petang semalam sebelum dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan.
Sementara itu, isteri Herman, Siti Azila Ag Emran, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Papar, Sabah, ketika ditemui di hospital, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya, tengah malam kelmarin.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah Isnin lalu ketika menghantarnya ke Menumbok, Sipitang untuk menaiki feri ke Labuan.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika kali terakhir bercakap dengannya menerusi telefon, petang semalam (kelmarin),” katanya yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun.
Petikan dari akhbar Berita Harian.